PMX ziarah Mohd Zolkafly yang baru selesai jalani pembedahan

Berita Perak

IPOH: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri Perak, Datuk Mohd Zolkafly Harun di kediamannya pada Sabtu.

Kesempatan menziarah itu dibuat susulan beliau hadir ke Perak untuk merasmikan beberapa program.

Mohd Zolkafly baru sahaja selesai menjalani pembedahan baru-baru ini.

Anwar dalam kenyataannya di Facebook berkata, dalam bertanya khabar mereka turut bertukar pandangan mengenai pelbagai isu semasa yang melibatkan rakyat dan pembangunan negeri.

“Saya singgah melawat Datuk Mohd Zolkafly yang baru selesai menjalani pembedahan baru-baru ini.

“Semoga beliau terus diberikan kesembuhan yang sempurna dan dikurniakan afiyah oleh Allah SWT,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Zolkafly melahirkan rasa penghargaan dan terima kasih di atas kunjungan istimewa PMX serta Menteri Besar Datuk Saarani Mohamad.

“Saya menerima kunjungan istimewa YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar.

“Walaupun dalam kesibukan tugasan dan jadual yang padat, PMX tetap meluangkan masa bersama-sama Menteri Besar Perak untuk berkunjung ke sini.

“Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada PMX, Menteri Besar dan semua yang hadir dalam kunjungan ini,” katanya.

Hadir sama dalam kunjungan itu, Exco Mohd Azlan Helmi, Datuk Bandar, Zamakhshari Hanipah serta beberapa pimpinan negeri lain.