BATU GAJAH: Sebanyak 26 Perusahaan Mikro Kecil Sederhana (PMKS) Perak mencatatkan lebih RM8 juta potensi kontrak eksport melalui tiga program peluasan pasaran produk dan perkhidmatan yang dianjurkan di luar negara tahun ini.
Exco Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Datuk Salbiah Mohamed berkata, selain itu, mereka berjaya mencatatkan jualan tunai hampir RM600,000 melalui program-program tersebut.
Menurutnya, tiga program itu ialah Brunei Consumer Fair World Expo Osaka dan Fine Food New Zealand.
“Memang melalui program-program dan sebagainya, kita buat pendedahan untuk mereka mencari pasaran luar.
“Misalnya baru-baru ni kita ada program ‘eksport day’ bersama Matrade, terdapat 173 usahawan yang kita dedahkan untuk mereka mencari pasaran luar,” katanya ditemui selepas majlis pelepasan kontena produk sambal nasi lemak ke Arab Saudi di Kawasan Perindustrian Ringan Seputeh, di sini, petang ini.
Menurutnya, PMKS Perak akan mengambil bahagian di dalam kira-kira 10 lagi program yang diadakan di luar negara sepanjang Ogos hingga Disember tahun ini.
Salbiah mengakui, selain mengambil bahagian di dalam pelbagai program, kerajaan negeri juga menggalakkan usahawan menggunakan kaedah pemasaran secara digital melalui media sosial.
“Dah tentu kita tak dapat lari dari segi pemasaran digital bagaimana mereka nak mempromosikan produk mereka.
“Memang kita nampak rata-rata usahawan menggunakan media sosial sebagai salah satu platform untuk memasarkan produk,” ujarnya.
Bagi tujuan itu, katanya, kerajaan negeri melalui pelbagai agensi turut menganjurkan program-program digitalisasi kepada usahawan di negeri Perak.


