PM bantu 100 pelajar IPTA,IPTS di Parlimen Tambun

Berita Perak

IPOH: Seramai 100 pelajar dalam Parlimen Tambun yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT) menerima sumbangan pendidikan daripada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan Muhammad Kamil Munim berkata, bantuan itu membabitkan pelajar peringkat diploma dan ijazah sarjana muda dengan peruntukan RM500 setiap seorang dalam kalangan keluarga B40.

“Kita mengadakan majlis penyerahan sumbangan pendidikan untuk pelajar yang akan melanjutkan pengajian ke IPTA dan IPTS dalam Parlimen Tambun di Dewan SK Meru Raya.

“Sumbangan ini bertujuan bagi meringankan bebanan kos sara hidup keluarga yang dibantu agar mereka turut mendapat kualiti pendidikan sama seperti mereka yang lain.

“Kita harapkan pemberian insentif itu mampu memberi sedikit semangat kepada para pelajar untuk meneruskan sesi pengajian dan meningkatkan motivasi mereka untuk kekal cemerlang selain membeli peralatan pembelajaran yang masih belum mencukupi,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Jelasnya lagi, pihaknya sedar pelbagai cabaran yang dihadapi pelajar di IPT khususnya kekangan kewangan bagi menanggung kos sara hidup dan perbelanjaan lain.

Selain itu, katanya sebahagian besar mahasiswa bergantung sepenuhnya kepada pinjaman pendidikan untuk memastikan kehidupan mereka sepanjang tempoh pengajian berjalan lancar.

“Perdana Menteri melalui Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Tambun komited membantu pelajar menerusi pelbagai inisiatif berlandaskan aspek pembangunan program, kebajikan dan kesejahteraan mahasiswa di negara ini.

“Perdana Menteri sering menitipkan nasihat supaya sentiasa mengutamakan soal pendidikan kerana ia mampu mengubah masa depan mereka.

“Sudah pasti atas agenda pemerkasaan pendidikan anak-anak di peringkat akar umbi khususnya daripada keluarga berpendapatan rendah akan diberi keutamaan dan selaku Ahli Parlimen Tambun beliau akan sentiasa konsisten bantu mereka” katanya lagi.