PM Anwar sentiasa prihatin kebajikan penduduk Tambun

Berita Perak

IPOH: Walaupun sibuk dengan tugasan sebagai pemimpin nombor satu negara, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, sentiasa mengikuti perkembangan Parlimen Tambun untuk memastikan kebajikan rakyat di kawasannya terjaga.

Setiausaha Politik Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, beliau dan Pegawai Khas di Parlimen Tambun sentiasa diminta untuk menyantuni dan menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku dalam kawasan Parlimen tersebut.

Menurutnya, walaupun sibuk, Perdana Menteri tetap mengikuti perkembangan terkini rakyat di Parlimen Tambun sama ada melalui media sosial ataupun wakilnya yang berada di lapangan.

“Setiap minggu beliau akan tanya perkembangan dan juga apa yang berlaku di lapangan dan maklumat juga diterima oleh YAB Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kita, saya sebagai Setiausaha Politik dan Saudara Amir Sabri sebagai Pegawai Khas di Parlimen Tambun ni, kita sentiasa berusaha untuk memastikan kita dapat menyantuni dan juga menyelesaikan segala permasalahan yang berlaku dalam kawasan Parlimen ini.

“Ini adalah tekad dan juga usaha kita bersamalah dari semasa ke semasa dan saya fikir ini juga adalah merupakan satu amanat dan juga penegasan oleh YAB Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk kita terus turun ke lapangan dan menyantuni serta melihat sendiri keadaan,” katanya.

Beliau ditemui demikian selepas Majlis Berbuka Puasa bersama Rumah Anak Yatim An-Nur Maisarah dan Penyerahan Kotak Rahmah kepada Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) pada Selasa malam.

Beliau meminta penduduk yang mempunyai masalah untuk datang ke Pejabat Parlimen Tambun bagi mencari jalan penyelesaian terbaik terhadap masalah mereka.

Terdahulu, Muhammad Kamil mengadakan Ziarah Kasih Madani mewakili Perdana Menteri menyantuni anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Meru Raya dan menziarahi 10 rumah di Taman Meru 2C dan Kampung Dato’ Ahmad Said Tambahan.