Piknik Moreh “Cahaya Pertama” meriahkan malam tujuh likur

Berita Perak

IPOH-Suasana malam tujuh likur di Medan Klebang Pertama diserikan dengan penganjuran Piknik Moreh “Cahaya Pertama” oleh Persatuan Penduduk Medan Klebang Pertama, baru-baru ini.

Program berkonsep santai dan berunsur “healing” itu berjaya menghimpunkan masyarakat pelbagai lapisan dalam suasana harmoni, dengan gabungan elemen tradisi sambutan menjelang Hari Raya Aidilfitri yang menampilkan suasana kampung di tengah persekitaran bandar.

Kawasan bahu jalan utama taman dihiasi deretan panjut dan pelita serta arca ketupat berlampu berukuran 5×5 yang mencipta pemandangan memukau, sekali gus memberikan pengalaman seolah-olah berada di desa pada malam tujuh likur.

Penduduk hadir bersama keluarga untuk menikmati juadah moreh secara piknik, sekali gus menghidupkan semula budaya kebersamaan dan semangat kejiranan.

Antara tarikan utama program termasuk “Highway Cahaya Panjut” dengan paparan tulisan “Eh Raya 2026”, Sudut Nostalgia Kampung dan persembahan bunga api. Selain itu, pertandingan hiasan “Cahaya Pertama” turut dianjurkan bagi mencungkil kreativiti penduduk menghias kediaman masing-masing.

Pengerusi Persatuan Penduduk Medan Klebang Pertama, Muhammad Khalish Nantha Bin Rajendran berkata, program berkenaan bukan sekadar acara santai tahunan, malah menjadi platform untuk mengukuhkan silaturahim serta menghidupkan semula warisan budaya dalam suasana moden.

“Kami ingin membawa semula jiwa sambutan nostalgia Aidilfitri ke dalam komuniti bandar, di mana cahaya panjut bukan sahaja menerangi jalan, tetapi turut menyatukan hati penduduk,” katanya.

Menurutnya, “Cahaya Pertama” melambangkan semangat ke arah pembentukan komuniti yang lebih erat, harmoni dan prihatin.

Program tersebut membuktikan bahawa tradisi dan nilai kebersamaan mampu terus disemarakkan melalui pendekatan kreatif dan inklusif dalam komuniti bandar.