IPOH: Seorang wanita berusia 55 tahun mengalami kerugian sebanyak RM181,650 setelah diperdaya sindiket ‘phone scam’ yang menyamar sebagai syarikat penghantaran barang dan polis pada Rabu lalu.
Menurut Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu daripada mangsa yang merupakan suri rumah yang menetap di Taiping, semalam.
“Pada 24 Februari (Sabtu) sekitar 4.01 petang, pihak polis telah menerima satu laporan polis daripada mangsa menyatakan dia telah ditipu oleh satu sindiket penghantaran barang dan penyamaran sebagai pihak polis.
“Pada 21 Februari jam 2.08 petang, semasa berada di rumah, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang wanita iaitu suspek pertama yang mengaku sebagai pekerja syarikat penghantaran di Kuantan, Pahang.
“Suspek memberitahu mangsa telah menghantar barang ke Kuantan dan didapati dalam bungkusan itu mengandungi tiga kad pengenalan, tiga pasport dan dua kad ATM.
“Namun, mangsa berkata dia tidak pernah membuat pengeposan atau penghantaran barang-barang tersebut ke Kuantan,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Ujarnya, pada hari sama, jam 2.13 petang, mangsa menerima panggilan telefon daripada seorang lelaki iaitu suspek kedua yang mengaku sebagai pekerja syarikat penghantaran di Kuantan.
Suspek itu kemudiannya menyambung panggilan telefon mangsa ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) pahang.
“Suspek kedua mendakwa dia telah membuat laporan satu polis dan meminta mangsa menyemak semula laporan itu melalui Whatsapp.
“Sejurus itu, mangsa menerima panggilan video daripada Whatsapp dan bercakap dengan suspek ketiga iaitu seorang lelaki yang memperkenalkan diri sebagai Insp. Chong.
“Dalam perbualan itu suspek ketiga ingin mengambil keterangan mangsa mengenai laporan tersebut, selain memberitahu mangsa ada terlibat dengan penggubahan wang haram dengan pengurus Public Bank Taiping, bernama Tan Wai Lun.
“Suspek berkata mangsa menjual akaun bank kepada Tan Wai Lun untuk urusan penggubahan wang haram dengan harga RM150,000.
“Mangsa menafikan pernah menjual akaun bank miliknya kepada sesiapa dan tidak pernah menerima wang daripada mana-mana pihak,” katanya.
Mohd Yusri berkata, suspek ketiga meminta mangsa berhubung dengan Datuk Yong (suspek keempat) kononnya dari IPK Pahang, jika mahu kes tersebut diselesaikan.
“Pada hari sama, jam 4.06 petang, mangsa menerima Whatsapp daripada suspek keempat.
“Mangsa telah menghantar tiga maklumat akaun bank miliknya untuk membuat semakan dengan pihak Bank Negara Malaysia (BNM). Kemudian, suspek keempat menghantar salinan surat pengesahan kewangan BNM.
“Mangsa diarahkan memasukkan kesemua wang simpananya ke dalam akaun bank yang diberikan suspek keempat bagi tujuan siasatan.
“Kononnya, sekiranya mangsa gagal berbuat demikian, kesemua wang dalam akaun banknya akan dibekukan,” katanya lagi.
Jelasnya, oleh kerana berada dalam ketakutan dan cemas, mangsa melakukan 20 kali transaksi pindahan wang ke empat akaun bank berbeza sebanyak RM181,650.
Katanya, setelah sedar dan mengesyaki dirinya ditipu, mangsa telah membuat satu laporan polis.
Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan (tipu) dan siasatan masih dijalankan.