TAPAH: Polis mengesahkan pesawat ringan yang terhempas di Lapangan Terbang Tekah, Taiping, Ahad lalu merupakan pesawat yang berdaftar di bawah Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF).
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, ketika kejadian, pesawat itu turut dikendalikan seorang juruterbang serta pelatih yang sah dan berdaftar di bawah persekutuan sama.
Menurutnya, siasatan teknikal insiden itu kini diserahkan sepenuhnya kepada Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) kerana ia melibatkan aspek penerbangan sukan.
“Laporan awal kejadian ini telahpun dihantar kepada CAAM. Siasatan terperinci berkaitan teknikal, kerosakan enjin atau kemungkinan ralat manusia akan dilakukan oleh CAAM.
“Polis masih menunggu perkembangan siasatan tersebut daripada CAAM,” katanya ketika ditemui pemberita dalam Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah di sini, hari ini.
Noor Hisam berkata, juruterbang lelaki berusia 46 dan pelatih lelaki berusia 40 tahun yang cedera masih menerima rawatan di Hospital Taiping dan dilaporkan mengalami patah kaki.
“Saya nasihatkan supaya kita elakkan sebarang spekulasi. Biarlah CAAM menjalankan siasatan penuh sebelum apa-apa kesimpulan dibuat,” ujarnya.
Terdahulu, media melaporkan seorang juruterbang dan pelatih cedera selepas sebuah pesawat ringan jenis microlight yang mereka dinaiki terhempas di kawasan lapang berhampiran Lapangan Terbang Tekah, Taiping.
Pesawat berkenaan dilaporkan mengalami kerosakan di bahagian enjin dan terpaksa melakukan pendaratan cemas di kawasan lapang berhampiran lapangan terbang tersebut.





