IPOH: Seorang warga emas maut setelah dipercayai mengalami serangan jantung dan kereta yang dipandunya hilang kawalan lalu terbabas di pembahagi jalan dekat Jalan Pasir Puteh, di sini pada Sabtu.
Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner (ACP) Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, kemalangan membabitkan pesara warga tempatan berusia 62 tahun itu berlaku sekitar 9.50 pagi.
Katanya, siasatan awal mendapati mangsa memandu dari arah Lahat ke Ipoh, apabila sampai di tempat kejadian dipercayai mengalami serangan jantung.
“Sebelum kenderaan dipandunya hilang kawalan dan terbabas ke atas pengadang batu dekat kawasan tiang lampu isyarat kiri berdekatan Station 18.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian dipercayai akibat serangan jantung,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu malam.
Abang Zainal Abidin menambah, semakan rekod mendapati mangsa ada sejarah rawatan sebagai pesakit jantung.
Justeru, katanya, mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) bagi proses bedah siasat.
Ujarnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (menyebabkan kematian kerana memandu dengan melulu atau membahayakan).
Beliau turut meminta saksi yang menyaksikan kemalangan itu supaya menghubungi Pegawai Penyiasat Kes, Inspektor Edwin Tang Chiew Song dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh di 016-5506863 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.