Persatuan Bola Sepak India Perak giat gilap bakat pemain cilik, peluang beraksi di MIFA

Berita Perak

IPOH: Usaha menggilap dan mengasah bakat dalam sukan bola sepak perlu dilakukan sedari bangku sekolah bagi membolehkan lebih ramai pemain bersinar sehingga ke peringkat antarabangsa.

Setelah 17 kali dianjurkan, Kejohanan Bola Sepak Tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Perak ternyata menarik minat ramai anak muda dari masa ke semasa.

Jika dahulu, hanya lapan pasukan ketika kali pertama ia diperkenal, kini sebanyak 62 pasukan menyertainya.

Presiden Persatuan Bola Sepak India Perak, Datuk Amaluddin Mohd Ismail berkata, sasaran mereka adalah untuk membolehkan pemain yang terpilih itu bermain di arena lebih mencabar bersama-sama pasukan lain.

“Kita adakan sesi pemilihan pemain dan pilih dalam 20 hingga 25 orang untuk membentuk satu pasukan baharu. Matlamat kita adalah untuk menyertai liga dan bermain dengan pasukan lain.

“Pasukan yang dibentuk nanti akan berpeluang beraksi dalam kejohanan anjuran Persatuan Bola Sepak India Malaysia (MIFA), selain di peringkat daerah.

“Kalau boleh, kita mahu gabungkan pemain pelbagai kaum terdiri daripada Melayu, Cina dan India dalam satu pasukan. Ini penting bagi membina semangat perpaduan dan kekuatan pasukan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas perasmian Kejohanan Bola Sepak Tahunan Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil Negeri Perak ke-17.

Beliau turut menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan negeri khususnya Exco, A Sivanesan yang banyak menyalurkan sumbangan untuk pembangunan bola sepak masyarakat India.

Jelasnya, Sivanesan menerusi kerajaan negeri turut menyumbangkan RM50,000 bagi tujuan tersebut.

“Penganjuran kejohanan seperti ini memerlukan banyak perbelanjaan antaranya penyediaan makanan dan penginapan kepada peserta. Terima kasih kepada semua pihak yang menyalurkan sumbangan,” ujarnya.

Perasmian pembukaan kejohanan bola sepak itu disempurnakan Sivanesan manakala upacara penutup dilakukan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran.

Pada kejohanan kali ini, SJKT Chettiar, Ipoh berjaya merangkul kejuaraan manakala SJKT Sim Wah, Taiping hanya sekadar menduduki tempat kedua.

Bagi kategori perempuan pula, johan dimenangi SJKT Kerajaan, Ipoh dan naib johan disandang SJKT Ayer Tawar.