IPOH: Lebih 60 pemilik rumah di Gopeng dan Beruas terkesan dengan tuntutan kerugian Tenaga Nasional Berhad (TNB) bernilai jutaan ringgit akibat sambungan eletrik haram oleh penyewa yang menjalankan aktiviti perlombongan bitcoin.
Ahli Parlimen Gopeng, Tan Kar Hing berkata, setakat ini pihaknya menerima 30 kes melibatkan pemilik rumah yang terkesan.
Selain itu, kata Kar Hing, pihaknya juga turut nengenal pasti 30 kes tambahan yang masih memerlukan kemaskini maklumat untuk tindakan lanjut.
“Kes ini jelas menunjukkan skala masalah yang semakin membimbangkan dan memerlukan perhatian segera daripada kementerian memandangkan jumlah tuntutan berkisar antara RM30,000 hingga RM1.2 juta bagi setiap kes,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan sebahagian mangsa di Pusat Khidmat Ahli Parlimen Gopeng, di sini, hari ini.
Menurutnya, mengikut Akta Bekalan Elektrik 1990, tindakan TNB adalah berdasarkan kehilngan pendapatan akibat pengusikan meter.
Bagaimanapun, ujarnya, undang-undang sedia ada tidak mewajibkan TNB untuk nembuktikan bahawa pengguna berdaftar adalah individu yang melakukan perbuatan tersebut.
“Ini membuka ruang kepada penyalahgunaan dan menyebabkan pemilik rumah yang tidak bersalah terpaksa menanggung kerugian besar,” katanya.
Tambahnya, kejadian itu bukan sahaja mengancam hak penyewa yang sesetengah kes dianggap keldai akaun serta pemilik rumah tetapi turut melibatkan TNB apabila mangsa tidak mampu membayar tuntutan dan negara ekoran gangguan bekalan letrik.
Beliau turut memberi beberapa kes yang mencerminkan kerugian besar yang dihadapi oleh mangsa walaupun mereka sendiri tidak mengetahui penyewa melakukan penyambungan elektrik secara haram.
Di samping itu, daripada 30 kes sedia ada, 14 daripadanya melibatkan penyewa yang sama, menunjukkan penyewa sengaja menyalahgunakan kelemahan undang-undang sedia ada.
Sehubungan itu, Kar Hing menggesa Suruhanjaya Tenaga serta pihak berkuasa berkaitan untuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap aktiviti perlombongan bitcoin secara haram bagi mencegahnya daripada terus berleluasa.
Beliau turut mencadangkan beberapa tindakan segera diambil untuk melindungi pemiliki rumah terus menjadi mangsa.
Antaranya, meminda Akta Bekalan Elektrik 1990 bagi memastikan tanggungjawab bersama antara pemilik rumah dan penyewa,
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Astaka di Beruas, Jason Ng berkata, setakat ini beliau menerima aduan daripada 32 pemilik rumah dengan jumlah tuntutan tertinggi lebih RM900,000.
Dalam pada itu, seorang pengusaha salon, Yen Pit Yun, 43, berkata, dia menyewakan tingkat atas premisnya pada Julai dan Ogos lalu.
Menurutnya, dia mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena apabila mendapati ada pekerja yang menyewa premisnya.
Selepas itu, ujarnya, pihak TNB menuntutnya membayar kerugian RM1.2 juta yang tidak mampu untuk dijelaskan.


