Perlekeh usaha perdamaian: Empat NGO, parti politik di Perak gesa tindakan tegas terhadap Fadhli Saari

Berita Perak

IPOH: Empat buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik di Perak menggesa pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Saari yang memperlekeh usaha gencatan senjata antara Thailand dan Kemboja menerusi inisiatif diplomatik oleh Malaysia.

Mereka yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh di sini mahu tindakan tegas itu kerana ia juga boleh menjejaskan hubungan dengan negara jiran.

Ketua Biro Kanun Amanah Perak, Mohd Fitri Asmuni berkata, tindakan Ketua Penerangan Pas Pusat itu tidak boleh diterima kerana ia satu penghinaan dan provokatif.

“Ini adalah satu penghinaan dan provokatif, bukan sahaja kepada Perdana Menteri, tetapi juga kepada (pemimpin) negara jiran.

“Apabila rakyat mereka melihat pemimpin mereka dihina seperti ini, bukankah ia akan menimbulkan keresahan dan kemarahan mereka,” katanya kepada wartawan selepas membuat laporan polis hari ini.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin dan Ahli Parlimen, Ahmad Fadhli tidak sepatutnya bertindak biadap, tidak matang dan tidak profesional.

“Sebagai seorang agamawan, apakah wajah agama yang ingin beliau tonjolkan kepada masyarakat, terutamanya umat Islam,” ujarnya.

Wakil Wadah Pencerdasan Umat (Wadah) Negeri Perak, Hasnul Zulkarnain Abdul Munaim pula berkata, sebagai seorang Ahli Parlimen yang membincangkan soal dasar, Ahli Parlimen Pasir Mas itu sepatutnya sensitif dengan isu-isu sejagat.

“Kami bimbang apabila perkara seperti ini dibiarkan, ia memberi gambaran yang tidak bagus kepada negara kita, terutama sekali kepada Perdana Menteri selaku Pengerusi ASEAN.

“Kami mengharapkan agar pihak berkuasa mengambil tindakan yang sangat tegas supaya menjadi pengajaran dan juga menunjukkan bahawa ketegasan negara untuk menghindari perkara-perkara jahat ini daripada memberi kesan buruk kepada negara,” ujarnya.

Wakil Persatuan Patriotik Rakyat Perak Mejar (B) Shahrulniza Tarmizi berkata, perbuatan Ahmad Fadhli itu amat tidak wajar kerana ia melibatkan isu peperangan.

“Sebagai bekas tentera, kami tahu apa kesan peperangan dan Ahli Parlimen Pasir Mas itu sepatutnya memberi pujian kerana peperangan boleh memberi kesan kepada ekonomi dan keselamatan,” katanya.

Terdahulu, Ahmad Fadhli menerusi hantaran di laman sosial memuat naik gambaran tiga watak binatang iaitu kambing dan biri-biri yang sedang berebut pisang dengan seekor monyet bertindak sebagai hakim berserta kapsyen: “kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang,”.

Hantaran itu turut disertakan dengan tangkap layar laporan berita mengenai konflik Thailand dan Kemboja, sekali gus menerima kecaman orang ramai.

Sebelum itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta dan tanpa syarat bagi meredakan ketegangan di sepanjang sempadan yang dipertikaikan, hasil mesyuarat khas dipengerusikan beliau di Putrajaya.
Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai menghadiri mesyuarat berkenaan.