Perdana Menteri sumbang RM1,000 kepada mangsa banjir di Parlimen Tambun

Berita Perak

TAMBUN: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menghulurkan sumbangan RM1,000 kepada 19 keluarga di Parlimen Tambun yang ditimpa musibah banjir kilat baru-baru ini.

Mangsa-mangsa itu adalah penduduk dari Kampung Cheh dan sekitar Tanjung Rambutan, antaranya Kampung Masjid, Kampung Bakar Bata dan Kampung North Ward.

Sumbangan disampaikan Ahli Dewan Negeri Perak (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad; Pegawai Khas Kanan Ahli Parlimen Tambun, Mohamad Hairul Amir Sabri dan Pengarah Pembangunan Negeri Perak, Datuk Shamshuzaman Sulaiman.

Majlis penyampaian diadakan di Pusat Khidmat Rakyat ADUN Hulu Kinta.

Mohamad Hairul Amir berkata, selain sumbangan itu, pihaknya juga telah menyampaikan bantuan awal ketika kejadian banjir kilat kira-kira seminggu lalu.

Menurutnya, walaupun tidak berada di kawasan, Anwar sangat prihatin terhadap musibah yang melanda penduduk di Tambun.

“Ketika hari kejadian, beliau berada di Terengganu untuk meninjau banjir buruk yang berlaku di negeri itu.

“Apabila mengetahui mengenai banjir di beberapa kampung di Tambun, beliau telah mengarahkan saya untuk turun untuk membantu mangsa,” katanya.

Sementara itu, Muhamad Arafat pula berkata, sumbangan itu adalah komitmen Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen Tambun.

Menurut beliau, pihaknya juga sedang berbincang dengan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bagi mencari langkah jangka panjang untuk mengatasi masalah banjir di kampung-kampung berkenaan, khususnya Kampung Cheh.