IPOH: Perak melakar sejarah tersendiri dengan penubuhan Majlis Institusi Pendidikan Tinggi (MIPT) Perak Darul Ridzuan, sebuah platform strategik yang menghimpunkan semua Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta di negeri ini bagi memperkukuh penyelarasan, kerjasama dan pembangunan ekosistem pendidikan tinggi secara menyeluruh.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan, Kerajaan Negeri Perak Darul Ridzuan, Datuk Khairudin Abu Hanipah berkata penubuhan MIPT bertujuan memperkukuh sinergi antara IPT, Kerajaan Negeri, industri dan komuniti dalam menyokong pembangunan modal insan, penyelidikan, inovasi serta agenda pembangunan sosioekonomi negeri dan negara.
Menurutnya, Universiti Pendidikan Sultan Idris ( UPSI) diberi amanah dan tanggung jawab menggerakkan MIPT Perak.
“MIPT adalah organisasi julung kali ditubuhkan di Negeri Perak dan yang pertama seumpamanya di Malaysia, sekali gus meletakkan Perak sebagai perintis dalam tadbir urus pendidikan tinggi bersepadu di peringkat negeri,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, penubuhan majlis itu adalah selari dengan Pelan Perak Sejahtera 2030 yang menekankan pembangunan inklusif, mampan dan berimpak tinggi melalui pengukuhan pendidikan, pembangunan bakat, inovasi, kebolehpasaran graduan serta kerjasama strategik pelbagai pihak.
Beliau yang mencetuskan idea penubuhan MIPT berkata, ia sebagai langkah strategik memacu agenda pendidikan tinggi negeri secara lebih tersusun dan berkesan.
Menurut Khairudin, MIPT akan berperanan sebagai badan penasihat dan pelaksana pelbagai program serta inisiatif strategik bagi memperkasa pendidikan tinggi negeri Perak ke arah pencapaian sasaran Perak Sejahtera 2030.
Menurutnya, penubuhan MIPT juga sejajar dengan Pelan Pendidikan Tinggi Malaysia (PPTM) 2026–2035, iaitu usaha komprehensif Kerajaan Persekutuan untuk meningkatkan prestasi, kualiti dan daya saing pendidikan tinggi negara.
“Melalui MIPT, sinergi kolaborasi antara IPT, industri, komuniti dan agensi Kerajaan dapat diperkukuh dalam aspek pembangunan bakat, kebolehpasaran graduan, TVET, keusahawanan, pertumbuhan ekonomi, pembangunan sosial dan kelestarian negeri,” ujarnya.
Sementara itu, Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menganggap mandat diberi kerajaan negeri Perak untuk menerajui MIPT amat bertepatan dalam mewujudkan satu ekosistem pendidikan tinggi yang sihat dan progresif.
Katanya, MIPT akan berfungsi sebagai entiti sokongan strategik kepada Kerajaan Negeri Perak dalam memperkukuh jaringan kerjasama akademik, penyelidikan, pembangunan komuniti dan modal insan, selari dengan pelaksanaan PPTM 2026–2035 dan Pelan Perak Sejahtera 2030.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Khairudin di atas kepercayaan yang diberikan terhadap UPSI merealisasikan fungsi MIPT Perak.






