IPOH: Kerajaan negeri Perak melancarkan Koridor Utiliti Darul Ridzuan (KUDR), satu penyelesaian bersepadu yang akan menjadi pusat sehenti bagi menyelaraskan pengurusan utiliti dengan lebih terancang di seluruh negeri.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, ia merupakan satu inisiatif bersama membabitkan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) dan pelabur tempatan tanpa suntikan kewangan kerajaan negeri.
Menurutnya, penubuhan KUDR itu selaras dengan keputusan Mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri pada 5 Januari 2022 berdasarkan kajian terhadap kesesuaian dan kebolehlaksanaannya di Perak oleh Unit Perancang Ekonomi Negeri.
“KUDR akan menjadi pemudahcara dalam melancarkan proses penyediaan infrastruktur utiliti di negeri ini seperti elektrik, air, gas,telekomunikasi dan sistem pembetungan selain membolehkan pemasangan dan penyelenggaraan utiliti dilakukan secara terancang cekap, dan terkawal,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan penubuhan KUDR di sini, hari ini.
Saarani berkata, ia juga adalah langkah proaktif bagi menangani isu dan cabaran seperti kompleksiti urusan permit korekgali, kesukaran pihak berkuasa memberi kelulusan serta memantau kerja utiliti, dan kesulitan mendapatkan data utiliti dengan spesifikasi tepat.
Menurutnya, kerajaan negeri yakin pendekatan inovatif dan inklusif itu akan menjurus kepada kesejahteraan rakyat, serta menjamin kesinambungan penyampaian kemudahan dan perkhidmatan awam di samping mewujudkan peluang pekerjaan dan perniagaan baharu.
“Kalau kita tengok dulu Telekom korek dia kambus, TNB korek pula, kambus, LAP pulak korek, tidak ada data yang sistematik.
“Sekarang dengan telekomunikasi yang meluas, ada keperluan untuk mewujudkan pusat sehenti dan apabila pemohon datang, kita dah tahu di mana yang ada dah sedia ada dalam tu Untuk mengelakkan daripada banyak kerosakan dan kerugian.
“Rakyat akan dapat menikmati kehidupan yang lebih selesa, fasiliti kerajaan yang lebih baik dan keselamatan yang lebih terjamin melalui perkhidmatan KUDR,” ujarnya.
Menurut Saarani, selaras dengan sasaran Perak Sejahtera 2030, KUDR telah membangunkan satu sistem atas talian iaitu KUDRAT bagi memperkasa ekonomi digital, pembuatan keputusan dipacu data serta tadbir urus projek berkepentingan negeri.
Beliau memberitahu, KUDR telah mula menerima permohonan korekgaliutiliti melalui sistem KUDRAT bermula 1 April lalu.
Dalam masa sama, beliau berkata, kerajaan negeri mengalu-alukan sokongan padu semua pemegang taruh bagi menjayakan pelan transformasi digital yang lebih efisien dan telus.