Perak tawar 30 peratus diskaun premium tanah kepada pelabur

Berita Perak, Sidang DUN

IPOH: Perak menawarkan diskaun premium tanah kepada pemaju dan pemohon yang berminat membuat pelaburan ke negeri ini.

Diskaun antara 10 hingga 30 peratus itu diberikan terhadap semua projek yang diluluskan di samping menepati kriteria ditetapkan.

Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee berkata, permohonan diskaun itu boleh dibuat setelah Kebenaran Merancang (KM) dikemukakan kepada pihak berkuasa tempatan atau pihak berkuasa yang berkenaan.

“Kebenaran untuk kerja awalan turut diberikan setelah permohonan KM ini dikemukakan.

“Proses kelulusan KM secara fast-track (laluan pantas) juga diberi dalam tempoh 21 hari dengan syarat semua keperluan dokumentasi adalah lengkap.

“Kerajaan negeri turut memberikan remisyen cukai tanah dalam tempoh tiga tahun selepas tahun tarikh pengeluaran,” katanya ketika menjawab soalan lisan Jason Ng Thien Yeong (PH-Astaka) dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.

Sze Yee berkata, usaha untuk mentransformasikan negeri ke arah perindustrian sedang giat dijalankan menerusi Pelan Perak Sejahtera 2030.

Menurutnya, menerusi inisiatif itu, konsep cadangan bagi penubuhan kawasan industri berteknologi tinggi giat dicadang untuk dibangunkan, termasuk melibatkan kawasan Daerah Kerian dan Daerah Muallim.

“Usaha ini membuktikan kerajaan Perak mengambil berat akan peranan industri dalam memangkin pertumbuhan ekonomi di negeri ini,” ujarnya.