Perak sedia guna EV sebagai kenderaan rasmi Exco

Berita Perak

IPOH: Perak bersedia mempertimbangkan penggunaan kenderaan elektrik (EV) sebagai kenderaan rasmi anggota Exco kerajaan negeri.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, Perak juga tidak mahu ketinggalan kerana penggunaan EV sudah menjadi tren ketika ini.

“Tren untuk mengurangkan pengeluaran, pembebasan karbon dioksid. Jadi kalau itu trennya seluruh dunia, takkan Perak nak ketinggalan.

“Kita akan ikut tren itulah,” katanya kepada pemberita selepas majlis pertukaran dokumen perjanjian pusat pengecas EV antara TNB dan Casuarina Meru Sdn. Bhd. di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TNB,
Datuk Ir. Megat Jalaluddin Megat Hassan.

Menurut Saarani, Perak juga akan memasang stesen pengecas EV di kawasan-kawasan tumpuan pelancong, termasuk Tasik Banding.

Beliau berkata, ia adalah antara rancangan kerjasama dengan TNB untuk memasang stesen berkenaan di seluruh negeri, termasuk di kawasan luar bandar.

Katanya, sejak kebelakangan ini, ramai pelancong menggunakan kereta EV dan dengan adanya stesen pengecas, akan menarik mereka untuk datang melancong ke negeri ini.

“Jangan lupa tahun 2026 adalah Tahun Melawat Malaysia, jadi saya fikir ia salah satu daripada tarikan untuk TNB dan kerajaan negeri mempercepatkan pemasangannya,” ujarnya.

Beliau memberitahu, Perak menetapkan sasaran penyediaan 500 stesen pengecas EV menjelang hujung tahun 2025.

Menurutnya, setakat ini, sebanyak 149 petak pengecas telah disediakan di 56 lokasi strategik, termasuk di bandar, lebuh raya dan destinasi pelancongan utama.