Perak pertimbang naik gaji penjawat awam negeri

Berita Perak

IPOH: Kerajaan negeri Perak sedia menimbang untuk menaikkan gaji penjawat awam negeri itu, selaras dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, lazimnya kerajaan negeri akan mengikut apa yang dilaksanakan oleh kerajaan Persekutuan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri akan meneliti terlebih dahulu pekeliling mengenai kenaikan itu yang akan dikeluarkan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

“Kita belum menerima sepenuhnya pekeliling biasanya Exco kerajaan negeri akan buat keputusan setelah kita dapat pekeliling tersebut, jadi kena sabarlah dulu.

“Lazimnya kita akan ikut tapi tengok kepada kemampuan kewangan dan juga mematuhi pekeliling yang akan dikeluarkan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan Dana Kreatif Perak@PORT (DKP) di pejabatnya di sini, hari ini

Mengulas lanjut bila kajian mengenail perkara itu akan dibuat, Saarani berkata, ia bergantung kepada pekeliling JPA.

“Bergantung kepada JPA, cepat kita dapat cepat kita kaji,” ujarnya sambil memberitahu, Perak mempunyai hampir 9,000 penjawat awam negeri.

Perdana Menteri pada semalam mengumumkan kenaikan gaji penjawat awam lebih 13 peratus bermula Disember ini, antara tertinggi dan terbaik dalam sejarah negara, yang melibatkan peruntukan lebih RM10 bilion.

Dalam perkembangan lain, Saarani berkata, kerajaan negeri memerlukan lebih masa untuk mengkaji Akta Perhutanan Negara (Pindaan) 2022, sebelum menguna pakainya sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) di negeri ini.

“Perak, Pahang dan Johor kita punya hutan besar berbanding Perlis, Pulau Pinang apa lagi, dia tiada hutan.

“Kita ada (Hutan) Royal Belum, jadi kita ada keperluan untuk melihat dan membuat kajian yang lebih, kita akan kaji,” katanya.

Semalam, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad berharap semua kerajaan negeri akan menyegerakan pemakaian Akta Perhutanan Negara (Pindaan)
2022 sebagai Enakmen Perhutanan (Pemakaian) di negeri
masing-masing.

Menurutnya, setakat ini hanya Perlis telah menerima pakai keseluruhan pindaan itu di samping Selangor yang melakukan beberapa pindaan dengan memperkenalkan proses penyiasatan awam bagi penggantian serta merta Hutan Simpan Kekal.