Perak pertama perkenal program diploma TVET pengurusan mutawif, ziarah untuk tahfiz

Berita Perak

IPOH: Kerajaan Perak memperkenalkan Program Diploma Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Pengurusan Mutawwif dan Ziarah sebagai pilihan alternatif kepada pelajar tahfiz.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program itu bukan sahaja membolehkan mereka dikenali sebagai penghafaz al-Quran, tetapi turut dilengkapkan dengan kemahiran yang relevan, bernilai tambah dan berdaya saing, supaya lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan dan kerjaya masa depan.

Menurutnya, program itu dilaksanakan dengan kerjasama Yayasan Perak, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) dan Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK).

“Melalui sinergi ini, kita berusaha melahirkan huffaz profesional yang teguh agamanya, baik akhlaknya, berilmu, serta mampu mengurus dengan cekap, supaya mereka benar-benar menyumbang secara bermakna dalam bidang yang mereka ceburi,” katanya ketika berucap merasmikan Empower Tahfiz suatu inisiatif khas pemerkasaan anak-anak tahfiz Perak.

Beliau berkata, kerajaan negeri melalui agenda Koridor TVET Malaysia memberi fokus untuk menjadikan TVET bukan hanya latihan kemahiran teknikal, tetapi satu inisiatif bersepadu untuk melahirkan modal insan yang berkualiti, berdisiplin dan mampu mengisi keperluan industri.

Selaras dengan itu, katanya, Program Diploma TVET Pengurusan Mutawwif dan Ziarah diwujudkan untuk memartabatkan industri pelancongan Islamikyang menyediakan tenaga mahir dengan perkhidmatan berkualiti, pengurusan jemaah umrah dan ziarah yang lebih efisien, memenuhi syariat serta mesra dan profesional.

Menurutnya, pendekatan itu seiring dengan Pelan Perak Sejahtera 2030, di mana TVET menjadi agenda penting untuk melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi, memperkukuh daya saing dalam pasaran domestik mahupun antarabangsa, dan pada masa sama mengangkat taraf sosioekonomi rakyat.

Katanya, program diploma itu menjadi permulaan integrasi baharu, bukan sahaja menghafaz al-Quran tetapi juga dilengkapkan dengan kemahiran moden, khususnya dalam bidang pelancongan Islamik yang sedang berkembang pesat.

“Mereka akan dididik bukan sahaja dalam aspek ‘fiqh manasik’ dan sejarah Tanah Suci, malah juga dalam kemahiran komunikasi, kepimpinan, pengurusan perjalanan, teknologi serta keusahawanan.

“Dengan itu, mereka benar-benar bersedia menjadi pembimbing ummah yang lengkap – menjaga ibadah, mengurus logistik, menenangkan hati jemaah, serta membawa imej negara dengan penuh maruah,” ujarnya.

Saarani berkata, sebagai permulaan, kerajaan negeri melalui Yayasan Perak telah menyediakan tajaan pendahuluan yuran sebanyak RM2,500 bagi setiap pelajar, dengan sasaran awal 100 penyertaan.

“Ini jelas membuktikan bahawa kita serius mahu melihat lebih ramai anak-anak tahfiz mendapat akses kepada pendidikan yang meluas dan kerjaya yang berkualiti,” tambahnya.