IPOH: Perak menjadi negeri pertama di Malaysia yang membantu pekerja swasta menubuhkan kesatuan di tempat kerja masing-masing, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia, Intergrasi Nasional dan Hal Ehwal Masyarakat India, A. Sivanesan.
Malah, katanya, kerajaan negeri turut menyediakan bantuan kewangan yang diperlukan untuk penubuhan tersebut.
Menurutnya, langkah itu bagi mewujudkan keharmonian industri, lebih-lebih lagi dengan kewujudan sekurang-kurangnya lima kawasan perindustrian baharu yang menyediakan lebih 30,000 peluang pekerjaan.
“Masih ada banyak majikan yang takut dengan kesatuan. Jadi saya telah arahkan Jabatan Hal Ehwal Kesatuan Negeri Perak, kerajaan Perak akan jadi kerajaan pertama di seluruh Malaysia di mana kita secara langsung akan melibatkan diri kita, daripada kerajaan sebagai wakil untuk membantu pekerja-pekerja menubuhkan kesatuan.
“Apa-apa isu berkenaan dengan penubuhan, apa-apa isu berkaitan dengan undang-undang, Akta Kesatuan Sekerja 1959 akan diuruskan oleh pejabat saya,” katanya.
Bercakap dalam sidang media di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh pada Selasa, Sivanesan berkata, setakat ini, terdapat 1.25 juta pekerja, termasuk penjawat awam di negeri ini.
Bagaimanapun, katanya, tidak sampai lapan peratus daripada pekerja swasta yang menyertai kesatuan sekerja.
Menurutnya, kerajaan negeri mensasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus pekerja berkenaan menyertai kesatuan sekerja dalam tempoh tiga tahun lagi.