Perak perkenal caj perkhidmatan baharu mulai Januari 2025

Berita Perak

IPOH: Perak memperkenalkan caj perkhidmatan tempatan baharu untuk pengunjung yang menginap di negeri itu mulai 1 Januari 2025.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching berkata, caj RM3 untuk setiap bilik bagi setiap malam itu adalah selaras dengan Enakmen Hotel Perak 2023 yang akan berkuatkuasa 1 Julai ini.

Bagaimanapun, katanya, caj itu bukanlah perkara baharu kerana ia telah dilaksanakan di beberapa negeri lain dengan pelbagai nama dan tafsiran.

“Di bawah caj perkhidmatan tempatan ini, bayaran RM3 untuk setiap bilik bagi setiap malam yang ditetapkan ke atas pengunjung merupakan satu inisiatif tambahan diharapkan dapat bantu kami untuk memperbaiki mutu perkhidmatan tempatan di tempat-tempat pelancongan di negeri.

“Bagaimanapun tarikh kuatkuasa bayaran caj ini telah diputuskan oleh kerajaan negeri untuk ditangguh ke 1 Januari 2025 bagi menghargai kedatangan pengunjung yang memeriahkan Tahun Melawat Perak 2024 sehingga hujung tahun ini,” katanya.

Beliau bercakap dalam sidang akhbar berkenaan pelaksanaan Enakmen dan Peraturan Hotel Negeri Perak di Bilik Media Dewan Undangan Negeri, Bangunan Perak Darul Ridzuan pada Khamis.

Turut hadir Exco Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor Perak, Loh Sze Yee.

Menurut Sandrea, di bawah Enakmen Hotel 2023 juga, semua pengendali hotel dan rumah tumpangan, termasuk rumah rehat, tapak perkhemahan, chalet, rumah bot dan inap desa atau homestay perlu mendapatkan lesen daripada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, bagi memberi tempoh yang mencukupi untuk sesi pendidikan dan bimbingan kepada kumpulan sasar, kerajaan negeri bersetuju untuk memberi tempoh pemutihan selama setahun.

Beliau menjelaskan, serentak dengan itu, penguatkuasaan berhubung lesen-lesen baharu akan ditangguhkan selama setahun sehingga 30 Jun 2025.

Tambahnya, kadar bayaran lesen yang dikenakan serendah RM200 setahun, bergantung kepada kategori dan bilangan bilik penginapan.

Katanya, dengan adanya enakmen dan peraturan baharu itu, akan dapat menambahbaik tata kelola pemain industri di samping meningkatkan amalan keselamatan dan kesedaran kesihatan awam.

Sementara itu, Lok pula berkata, pihaknya lebih menekankan kepada soal keselamatan pengunjung, bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berulang.