IPOH: Kerajaan Negeri Perak hari mula melantik Ahli Majlis bagi Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), kata Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Perak, Sandrea Ng Shy Ching.
Menurutnya, majlis angkat sumpah telah dimulakan dengan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) hari ini.
Menurutnya, secara keseluruhannya, kerajaan negeri telah melantik seramai 301 orang Ahli Majlis termasuk Datuk Bandar dan Yang Dipertua Majlis bagi 15 PBT di seluruh negeri.
“Pelantikan tersebut melibatkan 225 orang lantikan semula dan 76 orang lantikan baharu, sebagai gabungan kesinambungan pengalaman serta suntikan idea dan tenaga baharu dalam pentadbiran kerajaan tempatan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, dari segi komposisi, pelantikan kali ini turut merangkumi penyertaan daripada pelbagai latar belakang termasuk pemimpin masyarakat, wakil komuniti, profesional, pemimpin muda.
Menurutnya, barisan itu turut melibatkan 23 peratus penyertaan wanita dan 13 peratus generasi muda berusia bawah 35 tahun yang diharap dapat menyumbang tenaga, idea dan pendekatan yang lebih dinamik dalam pentadbiran tempatan.
Menurut Sandrea, bagi MPM, seramai 21 orang Ahli Majlis telah dilantik di mana 18 orang yang dilantik semula termasuk Yang Dipertua, manakala tiga orang merupakan lantikan baharu.
“Pelantikan ini berlangsung pada tahun yang istimewa bagi MPM kerana 2026 menandakan Jubli Perak PBT ini, iaitu ulang tahun ke-25 sejak dinaik taraf sebagai Majlis Perbandaran,” ujarnya.
Katanya, seiring dengan perkembangan pesat sektor maritim, perindustrian dan pelancongan, Manjung dilihat mempunyai potensi besar untuk terus diperkukuh sebagai Bandar Raya Pelancongan dan Maritim, di samping memperkukuh persediaan ke arah status bandar raya pada masa hadapan.
Sandrea berkata, kerajaan negeri terus menekankan budaya kerja pentadbiran yang lebih responsif, cekap dan berorientasikan penyelesaian, khususnya dalam menangani aduan rakyat serta isu-isu setempat.
“Ahli Majlis memainkan peranan penting sebagai penghubung antara masyarakat dan pentadbiran majlis, selain membantu memastikan setiap isu yang dibangkitkan dapat diselaraskan dan ditangani dengan lebih berkesan,” ujarnya.
Pada masa yang sama, tambahnya, Ahli Majlis dan pentadbiran majlis perlu bergerak sebagai satu pasukan yang mantap bersama agensi berkaitan supaya setiap dasar kerajaan dapat diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat kepada rakyat serta memperkukuh mutu penyampaian perkhidmatan di peringkat tempatan.
“Kerajaan negeri yakin bahawa dengan komitmen barisan Ahli Majlis yang dilantik serta kerjasama erat semua pihak, pentadbiran kerajaan tempatan di Negeri Perak akan terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat,” katanya.





