Perak lancar program Usha-Usahawan, bantu lonjak produk PMKS

Berita Perak

IPOH: Perak melancarkan satu lagi program untuk membantu melonjakkan produk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, program itu dilaksanakan Pejabat Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan Pembangunan Usahawan dengan kerjasama Sekretariat Pembangunan Usahawan Perak (STeP).

Menurutnya, ia bagi membantu menularkan produk dan perkhidmatan usahawan mikro dan informal di Perak, membabitkan kerjasama dua pempengaruh media, melibatkan 60 usahawan.

“Sekiranya diperlukan, kita bersedia untuk menambah bilangan pempengaruh untuk memberi manfaat kepada lebih ramai usahawan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI) 2.0 Wilayah dan Jelajah Hari Usahawan, Agro, Koperasi Negeri Perak 2023”4 di Stadium Indera Mulia di sini, hari ini.

Terdahulu, dalam ucapanya, Saarani berkata, Dengan sinergi ini, sektor ekonomi tidak formal seperti penjaja dan peniaga kecil dapat diperkasakan sekaligus menyumbang kepada ekonomi negara dan mencipta peluang pekerjaan.

“Dalam hal ini, kecenderungan usahawan informal untuk kekal pada tahap perniagaan kecil perlu diubah.

“Kita perlu mempunyai keinginan tinggi menjadi usahawan cemerlang yang mampu mengorak langkah lebih jauh,” ujarnya.