Perak ganda sumbangan Kedai Bergerak YBU, jual keperluan murah

Berita Perak

IPOH: Sumbangan untuk Kedai Bergerak Yayasan Bina Upaya (YBU) yang menjual barangan keperluan pada harga murah naik lebih 100 peratus.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, sumbangan tahun ini meningkat kepada RM3 juta, berbanding RM1.14 juta tahun lalu.

“Bila kita mula turun padang menjual barang dengan harga murah, kita dapati permintaan sangat tinggi.

“Sekarang permintaan bukan sahaja kuantiti barang, bilangan atau jenis barang, kekerapan, menjual dan pertambahan lokasi,” katanya.

Beliau ditemui selepas majlis penyerahan sumbangan daripada Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) dan Pelancaran Pra-Pesanan Juala Rahman Aidilfitri dan Karnival Agropelancongan Perak 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perak SADC, Datuk Yahanis Yahya.

Saarani berkata, berdasarkan kepada itu, Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak (Perak SADC) membantu dengan menampung pembelian sebuah lori tambahan.

Mengenai Jualan Rahmah Aidilfitri, beliau berkata, orang ramai boleh membuat tempahan pra pembelian daging, ayam dan telur dengan harga jauh lebih murah.

Menurutnya, tempahan boleh dibuat mulai 20 Mac hingga 2 April dan tempahan boleh diambil di pejabat Perak SADC pada 5 April.

Katanya, untuk program itu, Perak SADC menawarkan harga subsidi yang jauh lebih murah daripada harga pasaran.

Misalnya, ujar beliau, harga daging ditawarkan RM6 lebih murah daripada harga pasaran manakala ayam dijual RM6 seekor dan telur RM10 untuk 30 biji.