Perak destinasi pertama Jelajah Ihya Ramadan Ehsan, sasar asnaf dan anak yatim

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Perak menjadi destinasi pertama bagi Jelajah Ihya Ramadan Ehsan yang menumpukan infak serta bantuan kepada golongan sasaran selama empat tahun berturut-turut sempena Ramadan.

Jelajah tersebut dianjurkan oleh Kumpulan Syarikat Ehsan bersama Kongres India Muslim (Kimma) Perak yang bertempat di Sungai Siput Perak pada Ahad.

Menurut Pengarah Urusannya, Datuk Abdul Hamid P.V. Abdu, seramai 150 orang asnaf menerima sumbangan termasuk anak yatim serta pemberian duit raya kepada kanak-kanak.

“Sebenarnya sudah 30 tahun kita meneruskan tradisi pemberian sumbangan, tetapi dalam masa empat hingga lima tahun ini kami bekerjasama dengan Kimma memberi sumbangan kepada hampir 5,000 penerima di seluruh Malaysia.

“Walaupun ketika pandemik dahulu banyak syarikat korporat tidak dapat memberikan sumbangan, tetapi dalam keadaan begitu kami masih lagi cuba memberikan sedikit bantuan kepada yang memerlukan dalam bulan mulia,” katanya kepada pemberita.

Abdul Hamid turut mengakui meskipun berdepan dengan ekonomi tidak menentu sekarang, namun pihaknya sedaya upaya untuk memberikan kegembiraan dengan penyaluran bantuan tersebut.

“Kita tahu harga barang naik dan banyak lagi yang naik, bantuan ini sedikit sebanyak dapat memberikan kesenangan kepada mereka di bulan Ramadan ini,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menambah lokasi jelajah selepas Perak ialah Pulau Pinang, Kedah, Negeri Sembilan, Johor, Selangor serta Wilayah Persekutuan.

Selain itu, katanya, majlis berbuka puasa untuk 3,000 asnaf turut akan dianjurkan di Kajang dan Port Dickson tidak lama lagi.