IPOH: Perak akan menubuhkan Sekretariat Sekuriti Makanan sebagai sebuah badan yang akan menyelaraskan usaha untuk mencapai matlamat Perak Sejahtera 2030.
Exco Pembangunan Luar Bandar, Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan Negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun berkata, sekretariat ini berperanan untuk memastikan kelestarian dan daya tahan bekalan makanan di negeri itu dan mewujudkan peluang pekerjaan.
Dalam masa sama, katanya, ia juga untuk menjadikan Perak sebagai hab makanan halal di samping meningkatkan kesejahteraan luar bandar melalui penerapan teknologi baru dalam industri agro dan makanan.
“Sekretariat ini diperlukan kerana kita akan dapat membantu, membantu mengenalpasti, mengkaji dan meneliti apakah keperluan bagi membantu usahawan, petani, penternak dan nelayan.
“Inilah masanya kerajaan negeri mempunyai Sekretariat Sekuriti Makanan dan selaras dengan dan juga Perak Sejahtera 2030,” katanya.
Beliau ditemui selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman bagi hak pengedaran jentera dan peralatan penternakan serta pertanian antara Canning Machinery Solution Sdn Bhd dan CP Group China di sini, hari ini.
Menjelaskan lanjut, Mohd Zolkafly berkata, sekretariat itu akan mengumpul segala data yang berkaitan, antaranya keluasan tanah dan kemajuan yang dicapai oleh usahawan.
Menurutnya, beliau akan membentangkan cadangan penubuhan sekretariat itu kepada majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Sementara itu, mengulas mengenai memorandum yang ditandatangani, beliau berkata, ia sejajar dengan usaha Perak untuk menjadi peneraju pertanian pintar yang bukan sahaja berdaya saing, tetapi juga mematuhi prinsip kemampanan alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Menurutnya, kerajaan negeri mahu sektor pertanian berkembang bukan sekadar dari segi produktiviti, tetapi juga dari aspek nilai tambah, inovasi dan kesejahteraan rakyat.
Justeru, katanya, kerajaan negeri akan terus memberi sokongan, galakan dan bimbingan kepada semua pemain industri, agar mereka dapat mempertingkatkan kecekapan operasi, mengurangkan kos, dalam masa yang sama menjaga kebajikan pekerja dan kelestarian alam sekitar.











