IPOH: Kerajaan Perak mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) dua bulan gaji kepada semua penjawat awam negeri ini dalam Belanjawan Perak 2026.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, berkata BKK itu akan turut dinikmati Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO), Ex-Officio, semua guru lantikan negeri, Orang Besar Jajahan, ketua kampung dan kakitangan bawah kontrak Malaysia Short-Term Employment Programme (MySTEP).
Beliau berkata, pemberian bantuan khas itu adalah sebagai penghargaan atas segala bakti dicurahkan seluruh kakitangan negeri ini.
“BKK dua bulan gaji ini akan dibayar pada bulan Disember tahun ini,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2026 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini, hari ini.
Beliau berkata, pemberian BKK itu dipanjangkan pada kadar RM600 (RM300 sebulan x dua bulan) bagi Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Tradisional, Kampung Baru Cina dan India serta Tok Batin Kampung Orang Asli.
Selain itu, katanya, BKK juga turut dipanjangkan kepada guru-guru KAFA, Guru I’dadi dan Thanawi pada kadar RM400 (RM200 sebulan x dua bulan).
“Sebagai pengiktirafan terhadap peranan penting Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebagai jambatan antara Kerajaan dan rakyat, mendengar keluhan, mengurus keperluan, menyantuni keluarga memerlukan dan menyelesaikan pelbagai urusan masyarakat di kawasan masing-masing, kerajaan negeri Kerajaan turut memanjangkan BKK kepada semua Pusat Khidmat DUN pada kadar dua bulan elaun, iaitu berjumlah RM20,000 (RM10,000 x dua).
“Diharap pemberian ini menjadi pemangkin kepada perkhidmatan yang lebih cekap dan penuh empati; agar setiap denyut keresahan rakyat dapat diredakan, setiap pintu harapan dapat dibukakan, dan setiap komuniti , baik di kota mahupun desa, benar-benar merasai bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah jauh daripada kehidupan mereka,” ujarnya.
Saarani berkata, sebagai penghargaan atas jasa bakti penjawat awam negeri Perak, kerajaan negeri juga bersetuju menetapkan siling dan peruntukan Kumpulan Wang Pinjaman
Kenderaan ditambah RM1 juta menjadi RM5.5 juta.
Di samping itu, katanya, kadar faedah bagi pinjaman Kumpulan Wang Pinjaman Kenderaan dan Pinjaman Komputer untuk pinjaman kali kedua dikurangkan kepada kadar dua peratus setahun
berkuatkuasa mulai 1 Januari 2026.





