Penjaja kecil di Kinta dakwa sukar dapat tong LPG bersubsidi

Berita Perak

IPOH: Penjaja kecil sekitar daerah Kinta mendakwa mereka sukar untuk mendapatkan bekalan gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi sejak lebih seminggu lalu.

Pengerusi Persatuan Penjaja-Penjaja Kecil Pasar Malam Bahagian Kinta, Jaafar Uthman berkata, pengedar seperti ‘mencatu’ atau mengehadkan pesanan dibuat peniaga atas alasan kekurangan bekalan tong gas.

Sehubungan itu, beliau mendesak agar kerajaan menyiasat perkara tersebut dan mengambil tindakan sewajarnya sebelum menjadi lebih serius.

“Ke mana tong gas itu pergi, benda ni belum berlaku pun tong dah hilang.

“Saya taknak benda ini berlaku macam beras, beras RM26, kalau kita pergi kedai kadang-kadang takde, tapi peringkat parlimen menteri cakap ada.

“Yang kita di bawah ini macam mana nak beli barang? Nak beli beras pergi takde, kenalah beli berat RM40 satu beg,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perasmian Mesyuarat Agung Payung yang disempurnakan Ketua Whip Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Mazlan Abd Rahman di Ipoh pada Ahad.

Katanya, keadaan itu bukan sahaja menjejaskan operasi harian peniaga malah dikhuatiri akan berterusan sehingga pindaan baharu Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan (PPKB) 2021 dimuktamadkan Oktober ini.

Beliau meminta kerajaan mempertimbangkan untuk tidak menarik subsidi gas itu kepada penjaja kecil kerana ia akan turut memberi kesan kepada harga jualan makanan.

Pada 5 Jun lalu, mesyuarat Kabinet memutuskan syarikat dan perniagaan makanan serta minuman mikro dibenar terus menggunakan tong LPG bersubsidi biarpun tanpa Permit Barang Kawalan Berjadual (PBKB).

Perkara itu dimaklumkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Armizan Mohd Ali, sambil menjelaskan ia dibenarkan sehingga pindaan baharu kepada Peraturan Kawalan Bekalan (Pindaan 2021) dimuktamadkan dijangka Oktober depan.