Penipuan dalam talian di Perak masih tinggi, membimbangkan

Berita Perak

IPOH: Penipuan dalam talian di Perak masih tinggi dan membimbangkan kerana ia menjadi cabaran utama dalam usaha kerajaan negeri untuk menggalakkan digitalisasi.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Perak, Mohd Azlan Helmi berkata, sepanjang tujuh bulan pertama tahun ini, Perak mencatatkan 6,619 kes jenayah komersial direkodkan dengan kerugian melebihi RM68.5 juta.

Menurutnya, daripada jumlah itu, sebanyak 1,407 kes penipuan dalam talian dicatatkan, melibatkan kerugian lebih RM55.3 juta.

“Kita tahu ini, perkara scam ini merencatkan sikit, menakutkan-nakutkan masyarakat di luar sana tentang pendigitalan.

“Jadi kita nak juga rakyat Perak ini jangan tertinggal oleh disebabkan perkara ini.

“Jadi program kesedaran kena berjalan dan apa yang saya sebut tadi perancangan untuk terus pendigitalan pun kena berjalan.

“Tapi pada saya ini adalah cabaran untuk kita, jadi di Perak, kita fokus kepada ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menutup program Jelajah Anti-Scam Kebangsaan (JASK) 2024 peringkat negeri Perak di sini, hari ini.

Menurut Mohd Azlan, kerajaan negeri akan terus memperkasakan program kesedaran anti scam di peringkat akar umbi dengan penglibatan pelbagai pihak, termasuk 180 komuniti Madani seluruh negeri.