IPOH: Pengumuman Perdana Menteri bahawa kerajaan Perak bersetuju membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian atau KIGIP ke Seberang Perai, akan menyegerakan pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) di kawasan berkenaan.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengumuman Datuk Seri Anwar Ibrahim itu adalah langkah baik, kerana asalnya pembinaan LRA dijangka lewat dan mengambil masa yang panjang.
Menurutnya, pembinaan LRA itu akan membantu menyelesaikan tiga isu utama.
“Jadi kerana itu, ia serampang tiga mata. Satu ialah untuk kita supply air kepada pertanian orang Kerian, yang kedua untuk tujuan KIGIP, yang ketiga untuk menjual air terawat kepada Pulau Pinang.
“Diharapkan dengan pengumuman itu, akan mempercepatkan apa yang kita minta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri Warga Bangunan Perak Darul Ridzuan, di Ipoh pada Isnin.
Saarani berharap projek itu dapat disegerakan, lebih-lebih lagi apabila Pulau Pinang sendiri memerlukan air terawat menjelang tahun 2030.
Bagi Perak pula, kata beliau, tiada masalah kerana mereka telah membuat persiapan untuk memindahkan air ke Kerian.
Pada Ahad, Perdana Menteri mengumumkan bahawa kerajaan Perak bersetuju membekalkan air kepada Pulau Pinang melalui Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian ke Seberang Perai.
Menurutnya, perkara itu dipersetujui Sultan Perak Sultan Nazrin Shah dan Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad.