Pengiktirafan UEC: Beri ruang untuk kerajaan teliti

Berita Perak

IPOH: Semua pihak harus memberi ruang kepada kerajaan untuk meneliti isu berkaitan tuntutan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), kata Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim.

Menurutnya, tuntutan itu tidak harus diterima dengan sebulatnya tetapi harus juga mengambil kira beberapa pertimbangan penting.

Beliau memberi contoh, isu utama ialah untuk meletakkan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan bahasa pengantaraan utama, sebagai salah satu syarat kelayakan untuk sesuatu sijil itu diiktiraf, termasuk beberapa mata pelajaran yang lain seperti Sejarah dan sebagainya.

“Jadi bagi ruang kepada kerajaan sedikit untuk lihat.

“Saya percaya dalam tempoh yang akan datang ini, akan ada beberapa perkara yang diumumkan tanpa menggadaikan atau meminggirkan, mengetepikan prinsip-prinsip penting sepertimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, itu kita harus pertahankan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas pertemuan dengan wakil petani di Parlimen Tambun, di Kuala Kuang, dekat sini, hari ini.

Muhammad Kamil menegaskan, apa yang paling penting, setiap keputusan yang melibatkan soal dasar, tidak harus bercanggah dengan prinsip dan pendirian kerajaan di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Beliau mengulas kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa tuntutan yang menjurus kepada sensitiviti agama, bangsa dan kaum, perlu mengambil kira kedudukan bahasa kebangsaan dalam perlembagaan negara.

Anwar berkata, sebagai Perdana Menteri, prinsip yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan berhubung kedudukan bahasa Melayu akan terus didukung dan dipertahankan.

Sebelum ini, Timbalan Pengerusi DAP Nga Kor Ming dilapor sebagai berkata parti itu akan berjumpa dengan Perdana Menteri berhubung pengiktirafan UEC.

Dalam perkembangan lain, Muhammad Kamil berkata, kerajaan memahami kesukaran yang ditanggung hampir 200 petani di kawasan Tambun yang berdepan tindakan pengusiran.

Menurutnya, satu siri pertemuan dengan pemegang taruh termasuk anak syarikat kerajaan negeri akan diadakan minggu depan sebagai komitmen membantu menyelesaikan isu tersebut.

“Kita faham keresahan dan beban yang terpaksa ditanggung oleh mereka kerana sebahagiannya telah berada di tanah tersebut untuk satu tempoh yang panjang.

“Jadi dalam pertemuan nanti, kita akan mengemukakan cadangan alternatif lebih sesuai, selain meneliti tuntutan pampasan setimpal kepada petani yang terkesan,” ujarnya.