Pendaftaran PADU: Perak akur tiada lanjutan, yakin ada mekanisma elak keciciran

Berita Perak

GOPENG: Kerajaan Negeri Perak akur keputusan kerajaan Persekutuan tidak melanjutkan tempoh pendaftaran serta kemas kini sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang berakhir hari ini.

Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO negeri, Mohd Azlan Helmi bagaimanapun yakin, kerajaan mempunyai mekanisma untuk mengatasi keciciran pendaftaran itu.

“Kita pun faham mungkin ada masa-masa yang diperuntukkan di peringkat kerajaan Persekutuan dan mungkin ada strategi-strategi mereka untuk menangani perkara ini.

“Namun kita akur rayuan saya tempuh hari ditolak, saya rasa mungkin ada mekanisma lain yang disusun di peringkat Persekutuan untuk menangani isu ini,” katanya ketika ditemui selepas program Meriah Beraya Sejahtera Bersama di pasar raya Mydin RTC Gopeng di sini, hari ini.

Mohd Azlan yakin selepas respon positif rakyat sejak kebelakangan ini, kerajaan Persekutuan mempunyai kaedah untuk mengatasi keciciran pendaftaran PADU.

Minggu lalu, media melaporkan kerajaan negeri Perak berharap tempoh pendaftaran PADU yang berakhir 31 Mac dilanjutkan bagi memastikan sasaran 1.8 juta penduduk berusia lebih 18 tahun di negeri itu dapat dicapai.

Mohd Azlan berkata, ini kerana masih hampir 50 peratus rakyat di negeri ini masih belum mendaftar dan kebanyakannya terdiri dalam kalangan penduduk di kawasan pedalaman.

Bagaimanapun, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata, kerajaan tidak mempunyai perancangan untuk melanjutkan proses pendaftaran serta kemas kini sistem tersebut.

Menurut beliau, pihaknya perlu mematuhi jadual bagi membolehkan pelaksanaan penstrukturan semula subsidi.