Pemuda UMNO Sungai Siput tuntut permohonan maaf Yeo Bee Yin, penjelasan rasmi DAP

Berita Perak

SUNGAI SIPUT: Pemuda UMNO Bahagian Sungai Siput mengecam sekeras-kerasnya kenyataan Setiausaha Publisiti DAP, Yeo Bee Yin yang dilihat secara terbuka meraikan keputusan mahkamah melibatkan Datuk Sri Najib Razak dengan status “Another reason to celebrate this year end.”

Ketua Pemudanya, Ariff Zaky Zolkafly berkata, kenyataan Ahli Parlimen Puchong itu bukan sahaja bersifat biadab dan tidak berperikemanusiaan.

Malah mencerminkan wajah sebenar politik kebencian dan penghinaan yang masih diamalkan kepimpinan DAP, walaupun mereka kini berada dalam Kerajaan Perpaduan.

“Pemuda UMNO ingin memberikan amaran politik yang jelas bahawa sebagai Setiausaha Publisiti DAP, kenyataan Yeo Bee Yin tidak boleh diselindungkan sebagai pandangan peribadi semata-mata.

“Sebaliknya membawa implikasi langsung terhadap pendirian dan sikap rasmi DAP dalam kerajaan.

“Pemuda UMNO Bahagian Sungai Siput menuntut permohonan maaf terbuka tanpa syarat daripada Yeo Bee Yin, serta penjelasan rasmi daripada kepimpinan tertinggi DAP berhubung pendirian sebenar parti tersebut,” katanya.

Tambahnya, sekiranya tuntutan ini gagal dipenuhi, ia akan membuktikan DAP secara terbuka merestui budaya politik yang angkuh, tidak sensitif dan menghina maruah insan.

Sehubungan itu, Pemuda UMNO Bahagian Sungai Siput menggesa UMNO Pusat untuk menilai semula kesesuaian serta kelangsungan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan, sekiranya DAP terus gagal mengawal disiplin dan adab pemimpinnya.

Pemuda UMNO menegaskan bahawa kesabaran ada batasnya. Kerjasama politik tidak boleh dibina atas penghinaan, ejekan dan sikap angkuh terhadap maruah manusia.