IPOH: Pelbagai cara boleh dilakukan untuk menzahirkan rasa cinta dan sayang kepada tanah air, khususnya menjelang Hari Kemerdekaan.
Rasa sayang itu perlu dipupuk bagi memastikan semua bangsa dan generasi sama-sama menghargai kebebasan yang dikecap hari ini.
Mengambil peluang sempena Hari Kemerdekaan yang disambut kali ke-68, Pemuda MIC Negeri Perak menganjurkan Program Walkabout Merdeka di sekitar bandar raya Ipoh.
Ketua Pemudanya, Theeageesh Ganesan berkata, dalam program itu sebanyak 1,000 Jalur Gemilang telah diedarkan secara percuma kepada orang ramai.
Antara kawasan itu merangkumi Taman DR Seenivasagam, Ipoh Padang dan Little India.
“Lebih 1,000 Jalur Gemilang telah diedarkan kepada orang ramai sebagai tanda cinta kepada negara kita, demi menyemarakkan semarak kemerdekaan dalam kalangan rakyat,” katanya.












