Pemilik akaun Facebook dipanggil, bantu siasatan komen jelik terhadap Menteri Besar Perak

Berita Perak

IPOH: Polis telah memanggil pemilik akaun media sosial Facebook bagi membantu siasatan mengenai komen jelik di media sosial terhadap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Ketua Polis Daerah Gerik, Supt Abdul Samad Othman berkata, polis turut merampas sebuah telefon bimbit yang disyaki digunakan untuk tujuan tersebut.

Menurutnya, tindakan itu diambil susulan laporan polis yang dibuat pegawai khas Menteri Besar di Ibu Pejabat Polis Daerah Gerik, kira-kira 4.19 petang, 9 Mei lalu.

“Pihak IPD Gerik telah menjalankan siasatan terhadap akaun media sosial tersebut dan pemiliknya telah dikenal pasti,” katanya dalam kenyataan di sini, malam ini.

Menurutnya, pemilik akaun tersebut telah dipanggil ke IPD Gerik kira-kira jam 3 petang semalam untuk diambil keterangan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

Beliau meminta orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian itu supaya tidak mengganggu siasatan.