IPOH: Pemergian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Kuning, Allahyarham Ishsam Shahruddin amat dirasai rakan di dalam kerajaan Perpaduan Perak.
Exco Komunikasi, Multimedia dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Perak, Mohd Azlan Helmi mengakui beliau masih terkejut dengan berita pemergian wakil rakyat itu yang diterimanya di dalam kumpulan Whatsapp.
Tambahan pula, katanya, Allahyarham seorang ahli sukan yang aktif dan tiada tanda-tanda mengalami penyakit serius
Menurutnya, walaupun berbeza parti, Allahyarham merupakan seorang yang sangat mesra dan tidak pernah menolak apabila diajak berbincang, lebih-lebih lagi soal rakyat.
“Secara peribadi, saya kehilangan seorang rakan dalam kerajaan. Kita tahu dia memang aktif main bola sepak, bila dapat berita memang saya terkejut.
“Allahyarham seorang yang sangat prihatin terhadap kawasan diwakilinya dan di dalam Sidang Dewan Negeri, banyak isu-isu kawasan dibangkitkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Makan Malam Semarak Keadilan Kita Madani di Galasa Caldwell di sini pada Sabtu.
Mohd Azlan yang Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) turut merakamkan takziah buat keluarga Allahyarham.
Sementara itu, ADUN Manjoi, Mohd Hafez Sabri berkata, secara peribadi hubungan beliau dengan Allahyarham sangat baik
“Allahyarham selalu bertanya khabar dan bergurau bila bertemu. Sebelum ini ada bertemu beliau dan kami mesyuarat sekali berkaitan isu rakyat,” katanya dalam hantaran Facebook malam ini.
Wakil rakyat dari Pas itu turut mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham dan mendoakan agar roh Allahyarham ditempatkan bersama para syuhada dan solihin.