Pemborong miliki minyak masak lebih kuantiti, 23,015 kg disita

Berita Perak

TELUK INTAN: Sebanyak 23,015 kilogram (kg) minyak masak disita di sebuah pemborong di Langkap kerana disyaki menyimpan barang berjadual melebihi kuantiti dibenarkan.

Menurut Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Negeri Perak, Datuk Kamalludin Ismail, kesemua nilai rampasan itu berjumlah RM96,663.

Katanya lagi, serbuan dan pemeriksaan itu dilakukan oleh penguat kuasa dari KPDN Perak Cawangan Teluk Intan sekitar jam 11 pagi pada Isnin.

“Pemeriksaan mendapati kuantiti semasa minyak masak melalui pengisytiharan stok di bawah Seksyen 8(1) AKB 1961 dan rekod belian serta rekod jualan minyak masak dianggarkan berjumlah
23,015 kg.

“Ia melebihi had simpanan yang ditetapkan di dalam lesen iaitu hanya 10,000 kg.

“Berikutan penemuan tersebut, pemilik perniagaan memperakui pengisytiharan stok tersebut dan menyimpan minyak masak melebihi had kuantiti dibenarkan.

Sehubungan itu, kesemua 23,015 kg minyak masak disita bagi siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, kes akan disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961.

“KPDN tidak akan berkompromi dengan pihak yang didapati melanggar syarat ditetapkan dalam lesen barang kawalan berjadual dan akan memastikan tindakan lebih tegas diambil termasuk pendakwaan di mahkamah,” katanya.