Pembenihan awam belum sesuai di Bukit Merah ketika ini – Saarani

Berita Perak

IPOH: Walaupun paras air Empangan Bukit Merah kini berada pada tahap kritikal susulan musim kering berpanjangan, proses pembenihan awan di kawasan berkenaan masih belum sesuai ketika ini.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, proses itu tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, sebaliknya perlu khidmat nasihat daripada jabatan teknikal, khususnya Met Malaysia.

Menurutnya, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) telah mengambil inisiatif untuk mengkaji keperluan sama ada proses pembenihan awan boleh dibuat sekarang atau tidak.

“Saya dimaklumkan NADMA telah mengambil inisiatif untuk mengkaji, melihat keperluan sama ada pembenihan awan boleh dibuat pada masa sekarang ataupun tidak.

“Tapi saya dimaklumkan Jabatan Meteorologi memberi nasihat bahawa sekarang tak sesuai kerana anginnya tak boleh ditentukan sama ada boleh tak hujan itu diturunkan dalam Tasik Bukit Merah. Jadi kalau begitu tak nak ia menjadi sia-sialah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Hari Bertemu Pelanggan di Stadium Indera Mulai, di sini, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Perak memaklumkan paras air Empangan Bukit Merak pada Isnin mencatatkan 6.1 meter dan berada pada paras kritikal tahap 3.

Dalam pada itu, Saarani berharap agar kerajaan Persekutuan dapat menyegerakan pelaksanaan projek pemindahan air mentah dari Sungai Perak ke Tasik Bukit Merah bagi menangani krisis kekurangan air yang berlaku setiap tahun.

“Dulu asal permintaan kita memang hanya khusus untuk mengatasi masalah pengairan di utara negeri Perak.

“Tapi apabila ada pembangunan Taman Perindustrian Hijau Bersepadu Kerian (KIGIP) dan
permintaan daripada Pulau Pinang, maka ia dipakejkan sekali.

“Jadi bukan sahaja pemindahan air daripada Sungai Perak ke Bukit Merah semata-mata tetapi juga untuk tujuan Logi Rawatan Air bagi membolehkan kita membekalkan air bersih untuk kegunaan KIGIP, penduduk utara Perak dan juga lebih dijual sebagai air terawat kepada Pulau Pinang,” ujarnya.