Pemandu treler maut, tiga cedera dalam nahas empat kenderaan di lebuh raya

Berita Perak

BIDOR: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera dalam kemalangan yang membabitkan empat buah kenderaan termasuk treler di kilometer (km) 366 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah selatan, di sini malam tadi.

Menurut Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad, kemalangan itu membabitkan sebuah treler, dua lori 5 tan dan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV).

Katanya, pihaknya menerima panggilan berhubung nahas itu pada jam 10.36 malam sebelum seramai 15 orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Slim River dan Bidor ke lokasi.

“Setibanya jentera di tempat kejadian, didapati seorang mangsa lelaki berusia 40 tahun tersepit di dalam kepala lori treler dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.

“Sementara itu, dua mangsa lelaki iaitu pemandu dan kelindan lori 5 tan muatan paip, masing-masing berusia 28 tahun cedera.

“Begitu juga pemandu lori 5 tan yang membawa muatan motosikal mengalami kecederan di bahagian kaki,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, pemandu dan penumpang kereta jenis MPV Toyota Unser, masing-masing berusia 37 dan 32 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.

Sehubungan itu, Sabarodzi berkata, pasukan bomba mengeluarkan mangsa tersepit menggunakan peralatan menyelamat.

Setelah itu, mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan susulan, mangsa yang cedera pula dihantar ke hospital menggunakan ambulans.