IPOH: Seorang wanita terselamat selepas kereta yang dipandunya dihempap sebatang pokok tumbang di Jalan Ipoh – Lumut, sebelum kuari menghala ke Batu Gajah, petang tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 4.03 petang.
Menurutnya, pihaknya menerima maklumat mengenai pokok hutan tumbang menghempap sebuah kereta jenis Produa Myvi yang dipandu seorang wanita berumur 41 tahun.


“Setibanya jentera di lokasi didapati pokok telah menghempap bahagian hadapan kereta tersebut dan pemilik telah keluar dari kereta tersebut dengan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, ketua operasi melakukan size up dan mengarahkan anggota menggunakan peralatan khas iaitu gergaji rantai bagi kerja-kerja memotong dan mengalihkan sisa-sisa dahan pokok ke kawasan selamat dari laluan utama.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan (PBK) II (KUP) Mohd Faizal Hj Zaidi bersama lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pasir Putih tamat jam 5 petang.






