TAPAH: Seorang lelaki yang merupakan pemandu lori ‘bonded’ maut setelah kenderaan yang dipandu dipercayai melanggar bahagian belakang sebuah lori 1 tan di kilometer (KM) 328.0 Lebuhraya Plus arah selatan, di sini hari ini.
Kejadian berlaku sekitar 12.19 tengah hari tadi apabila seramai lapan orang anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Tapah digerakkan ke lokasi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, mangsa berusia dalam lingkungan 30-an.
“Kemalangan melibatkan sebuah lori bonded melanggar bahagian belakang lori 1 tan.
“Akibat kemalangan itu, pemandu lori bonded tersebut telah tersepit dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang hadir,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Tambahnya, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengaplikasi konsep SAVER, sekali gus menggunakan peralatan hidraulik sehingga mangsa berjaya dikeluarkan.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan lanjut.




