TAPAH – Seorang pemandu lori syarikat e-dagang terkemuka cedera parah selepas kenderaan dipandunya dipercayai merempuh belakang treler dalam nahas di Kilometer 315.3 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) arah utara di sini, hari ini.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kemalangan itu pada jam 8.23 pagi.
Menurutnya, sepasukan 20 anggota dan pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tapah dibantu BBP Gopeng dikejarkan ke lokasi kejadian.
Katanya, setibanya di lokasi kejadian didapati sebuah lori tiga tan yang membawa barangan tempahan dari aplikasi syarikat e-dagang itu telah merempuh bahagian belakang sebuah treler lain.
“Kita menemui pemandu lori iaitu lelaki berusia 30 tahun berada dalam keadaan tersepit di tempat duduknya,” katanya dalam satu kenyataan.
Menurutnya, ketua operasi melaksanakan size up seterusnya mengaplikasikan konsep SAVER (Pendekatan Sistem Untuk Menyelamat Mangsa Terperangkap) dan anggota melaksanakan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan hidraulik bagi membuat regangan
“Bantuan kenderaan penunda digunakan untuk menarik kepala lori yang remuk akibat rempuhan tersebut,” ujarnya
Sabarodzi berkata, mangsa yang patah kedua belah kaki serta cedera ringan di bahagian tangan berjaya dikeluarkan dan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan untuk dihantar ke hospital.
Operasi operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan I, Jasmin Shariff itu tamat sepenuhnya jam 9.17 pagi.