Peluang memiliki Rumah Ibu bermula RM98,000 seunit

Berita Perak

IPOH: Pemilik tanah lot di seluruh negeri Perak berpeluang memiliki Rumah Ibu sekali gus menmbah nilai hartanah mereka dengan menyertai skim yang menawarkan lapan model kediaman pada harga antara RM98,000 hingga RM238,000 seunit.

Pengasas merangkap Presiden Rumah Ibu Sdn Bhd, Datuk Sr. Dr. Kamarut Rashdan Salleh berkata, pihaknya sedia membina rumah mampu milik pada harga termurah iaitu Rumah Ibu model Fusion yang berharga RM98,000 berkeluasan lantai 540 kaki persegi dengan dua bilik tidur dan satu bilik air.

Menurutnya, harga semua model yang ditawarkan adalah selari dengan komitmen penubuhan syarikat sebagai perusahaan sosial yang berperanan menyokong pertumbuhan dan meningkatkan peluang hidup individu untuk membina keluarga bahagia melalui rumah mampu milik dengan perkhidmatan sokongan yang disesuaikan serta bersifat inklusif.

“Sebanyak 244 pemilik tanah lot telah berdaftar di bawah Skim Rumah Ibu sejak ianya dilancarkan pada Februari 2024 dan terus menerima permintaan baharu daripada pemilik tanah lot untuk Rumah Ibu terutama model Elation berharga RM138,000 berkeluasan lantai 750 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bilik air atau model Evolution berharga RM141,000 berkeluasan lantai 755 kaki persegi dengan empat bilik tidur dan dua bilik air,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis peluncuran inisiatif pembaharuan semula rancangan perkampungan tersusun (RPT) peringkat negeri Perak di sini, hari ini

Katanya, selain Fusion, Elation dan Evolution, terdapat model Rumah Ibu lain yang ditawarkan, antaranya model Compression berharga RM111,000 berkeluasan lantai 590 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dan satu bilik air.

Tambahnya, rumah lain yang lebih premium ialah model Impression berharga RM148,000 (795 kaki persegi dengan tiga bilik tidur dua bilik air), Impassion RM171,000 (900 kaki persegi, tiga bilik tidur dan dua bilik air), Devotion (RM198,000 – 1,050 kaki persegi, empat bilik tidur dan tiga bilik air) serta model Obsession (RM238,000 – 1,252 kaki persegi, empat bilik tidur dengan tiga bilik air).

Menurutnya, skim tersebut mensasarkan pemilik tanah lot bagi 66 kawasan RPT di seluruh negeri itu yang melibatkan lebih 6,000 lot rumah.

“Apabila pemilik tanah lot menyertai Skim Rumah Ibu ini, kos pembinaan bukan sahaja akan lebih terkawal kerana kemudahan prasarana dan infrastruktur telah disediakan oleh Kerajaan Negeri malah Rumah Ibu Sdn Bhd membantu mereka dari segi pembiayaan, kelulusan pihak berkuasa tempatan dan penyelesaian isu pemilikan,” ujarnya.

Kamarul Rashdan berkata, purata tempoh menyiapkan pembinaan sebuah Rumah Ibu kebiasaannya adalah antara empat hingga enam bulan bergantung kepada model selain faktor cuaca, lokasi dan kelulusan pihak berkuasa tempatan.

“Tempoh yang diambil bagi menyiapkan model Fusion sebenarnya adalah sebulan manakala bagi model paling besar iaitu Obsession memakan masa sehingga dua bulan kerana Rumah Ibu akan dibina menggunakan teknologi IBS,” katanya.

Walaupun demikian, kata beliau, tempoh sebenar penyiapan lebih daripada itu kerana menunggu kelulusan pihak berkuasa tempatan yang mengambil masa antara tiga hingga enam bulan.

Setakat ini, projek Rumah Ibu menumpukan komitmen untuk membina Rumah Ibu hanya di Perak sahaja.