Pelihara khazanah seni, penyambung budaya bangsa – Saarani

Berita Perak

IPOH: Selain kaya dengan hasil bumi, Perak turut sarat dengan seni budaya yang membentuk jati diri negeri dan menjadi tunjang kebanggaan rakyat dan wajahnya di mata dunia.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad bagaimanapun berkata, warisan seni itu kini berdepan cabaran besar apabila arus globalisasi dan pengaruh budaya asing semakin mudah memikat generasi muda.

Menurutnya, jika generasi muda tidak dibimbing, seni tradisi negeri itu dikhuatiri akan tersisih, malah berisiko pupus kerana ketiadaan pewaris.

“Ada kesenian tradisional kini berdepan risiko pupus kerana ketiadaan pewaris yang benar-benar dapat menghayati dan mendalami seni,” katanya ketika berucap pada majlis Anugerah Seni Negeri (ASN) Perak 2025 di sini, malam tadi.

Hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ahmad Suaidi Abdul Rahim; Pengarah Pengukuhan Seni Budaya, Saiful Khairi Ahmad dan Pengarah Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) Perak, Hisham Mat Husien.

Saarani menegaskan, setiap cabaran sebenarnya membuka ruang kepada peluang baharu, terutama melalui penggunaan teknologi digital.

Menurutnya, teknologi digital hari ini telah memberi ruang untuk warisan seni seperti pantun, dabus, rebana dan kraf Perak diketengahkan ke seluruh dunia.

“Menerusi kreativiti dan strategi yang tepat, seni tradisi boleh dipersembahkan semula dalam wajah moden tanpa menghilangkan rohnya.

“Misalnya, teater tradisional yang dirakam dan dipersembahkan secara dalam talian mampu menarik minat generasi baharu, di samping mengangkat seni Perak ke pentas global,” ujarnya.

Beliau berkata, kerajaan negeri sedar seni budaya merupakan asas penting dalam pembangunan sosial dan ekonomi yang seimbang.

Justeru, katanya, pelbagai inisiatif digerakkan melalui JKKN, Majlis Kebudayaan Negeri dan agensi lain agar seni budaya terus hidup, berkembang dan berpadu dalam arus pembangunan negeri.

Saarani berkata, ASN Perak adalah pengiktirafan tertinggi kepada tokoh, penggiat dan pendukung seni serta budaya yang telah berjaya mengangkat martabat negeri.

Menurutnya, mereka yang sebenarnya menjadi benteng kelestarian warisan, penjaga khazanah, dan penyambung denyut nadi budaya bangsa.

Pada malam itu, sebanyak 19 kategori anugerah disampaikan merangkumi bidang teater, muzik, tari, seni halus, seni belakang tabir, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelbagai kaum, sekolah harapan seni budaya serta media seni budaya.

Sebanyak 50 pencalonan telah diterima dan dinilai secara telus oleh empat juri profesional.

Penggiat teater tempatan, Rashidi Abdul Kharis, 62, dipilih sebagai penerima Anugerah Tokoh Sepanjang Zaman manakala Mannan Miah Wabulah dipilih penerima Anugerah Tokoh Seni Negeri Perak 2025.

Masing-masing menerima wang tunai RM5,000 dan RM3,000 di samping plak dan sijil.