IPOH: Seorang pelanggan warga emas tersepit selepas sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) merempuh restoran makanan segera, KFC di Jalan Haji Mohd Ali, Sitiawan, malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian itu pada 9.09 malam.
Menurutnya, kemalangan melibatkan sebuah kenderaan MPV jenis Volvo, telah terbabas dan melanggar sebuah Restoran KFC.
“Terdapat seorang mangsa perempuan warga emas berusia sekitar 70an, tersepit di bawah kereta dan telah dikeluarkan oleh orang awam,” katanya dalam kenyataan di sini.
Beliau berkata, ketua operasi melaksanakan size-up seterusnya mengarahkan anggota membantu pihak Kementerian Kesihatan (KKM) membuat rawatan awal.
Ujarnya, mangsa seterusnya diserahkan pada pihak KKM untuk tindakan selanjutnya.
Operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II (TBK) Lutfe Abdul Rahman tamat sepenuhnya jam 9.49 malam.


