IPOH: Nassry Mardee Ismail, 45, atau lebih mesra disapa Cikgu E, yang tular di media sosisl kerana kecekalannya berjuang melawan tiga jenis kanser, meninggal dunia petang tadi.
Perkhabaran duka tersebut dikongsikan melalui laman Facebook bekas guru dan usahawan itu sekitar pukul 4.45 petang.
“Nassry Mardee Bin Ismail dah meninggalkan kita semua. Moga Allah ampuni dia, rahmati dia, maafkan dia, muliakan kematian dia, lapangkan kubur dia, jadikanlah syurga sebagai ganti tempat tinggal dia dan berilah kesabaran kepada ahli keluarganya, semoga dia di tempatkan di kalangan orang yang beriman,” tulis hantaran berkenaan.
Menerusi hantaran dimuat naik di laman sosial sama, pengurusan jenazah akan dilaksanakan di Masjid Al-Ansar, Meru dan Allahyarham dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Meru Raya.
“Abah dikafankan oleh ahli keluarga di Masjid Al-Ansar, Meru. Abah disembahyangkan di Masjid Al Ansar, Meru pada pukul 7.30 petang,” ujar hantaran itu.
Nassry Mardee, 45, disahkan menghidap barah buah pinggang pada Mac tahun lalu.
Difahamkan, dia sebelum ini telah menjalani pembedahan membuang buah pinggang di sebelah kiri.
Meskipun hanya mempunyai kira-kira 30 peratus fungsi saluran pernafasan, Allahyarham tidak pernah berputus asa dan tetap berikhtiar menjalani rawatan double immunotherapy yang menelan kos tinggi.
Bapa kepada lima anak berusia antara lapan hingga 19 tahun itu sebelum ini memerlukan dana kira-kira RM200,000 bagi menampung kos rawatan selepas perlindungan takaful sedia ada tidak mencukupi.
Sementara itu, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad dalam hantaran di aplikasi Whatsapp miliknya turut merakamkan salam takziah kepada ahli keluarga Allahyaham.
“Semoga rohnya dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman,” tulis beliau.






