KUALA KANGSAR: Seorang pejalan kaki wanita warga emas maut setelah dilanggar lalu terperosok di bawah sebuah kereta jenis Perodua Myvi di laluan Chandan Puteri, di sini pada Sabtu malam.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Perak, kemalangan itu berlaku kira-kira jam 9.21 malam, sebelum anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar digerak atur ke lokasi.
Katanya, ketika kejadian mangsa berusia 81 tahun itu sedang berjalan di bahu jalan tersebut sebelum dilanggar oleh kereta tersebut.
“Terdapat seorang mangsa berada di bawah kereta akibat dari kemalangan tersebut dan telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ketua operasi mengarahkan anggota melaksanakan kerja-kerja menyelamat menggunakan peralatan khas iaitu ‘air lifting dan pengusung bagi mengeluarkan mangsa di bawah kereta.
“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak polis bagi tindakan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Operasi yang membabitkan seramai 10 orang anggota bomba itu tamat jam 10.04 malam.


