Peja wajar pertahan jawatan Timbalan Presiden Bersatu

Berita Perak

KUALA KANGSAR: Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu wajar mempertahankan jawatan tersebut pada pemilihan parti itu akan datang.

Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid yang juga rakan baiknya berpendapat adalah tidak wajar Ahmad Faizal diturunkan pangkat sebagai Naib Presiden Bersatu.

“Itu Datuk Seri Peja punya keputusan, tak tahu dia punya keputusan ke atau Presiden dia punya keputusan, saya pun tak tahu, saya tak dapat hubungi lagi Datuk Seri Peja.

“Itu terpulanglah pada dia, dia nak bertanding ke.

“Sebagai kawan saya rasa Datuk Seri Peja ni political animal, suruh dia lawan ajelah,” katanya ketika ditemui selepas menyempurnakan Majlis Penyampaian Komputer Riba Kepada Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di sini, hari ini.

Iskandar Dzulkarnain sebelum ini pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Politik sewaktu Ahmad Faizal menjadi Menteri Besar Perak.

Pada 13 Julai lalu, Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bakal ‘naik pangkat’ dan ke jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan akan datang.

Dalam pada itu, Iskandar Dzulkarnain mengakui lega dengan keputusan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul yang mengumumkan bahawa enam kerusi Parlimen yang menyokong kerajaan tidak berlaku kekosongan.

Menurutnya, keputusan itu sekaligus tidak mengganggu tugas sebagai wakil rakyat di kawasan yang diwakili.

“Saya akan terus bekerja untuk memberikan mereka apa yang saya mampu untuk bantu penduduk di kawasan saya,” katanya.

Pada program itu, seramai 25 pelajar cemerlang SPM menerima seunit komputer riba daripada Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Kangsar.