IPOH: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak mencatatkan 11 kes sempena Ops Pantau 2025 yang dilaksanakan sejak 2 Mac hingga semalam.
Pengarahnya, Datuk Kamalludin Ismail berkata, 11 kes itu yang tertinggi di seluruh negara setakat ini, melibatkan kompaun RM3, 800 dengan nilai rampasan RM84,000.
Menurutnya, kes-kes itu dikesan hasil pemeriksaan ke atas 1,051 premis yang dilakukan 195 penguatkuasa dan 75 pegawai pemantau harga.
“Daripada 11 kes itu, tindakan – masing-masing lima kes tiada tanda harga dan alat timbang sukat yang tidak ditentu sahkan atau tamat tempoh dan satu kes menjual barangan tiruan,” katanya kepada pemberita ketika sesi walkabout Bazar Ramadan Rahmah (BRR) program Mysavefood Ramadan di Taman Cempaka di sini, hari ini.
Beliau berkata, pihaknya akan meningkatkan lagi pemantauan dan bersasar di kawasan tumpuan rakyat untuk membeli barangan sempena Ramadan dan Aidilfitri.
“Pegawai kita akan turun padang setiap hari ke lokasi sasaran untuk membuat pantau dan ambil tindakan,” tegasnya.
Menurutnya, antara lokasi sasaran ialah bazar Ramadan dan Aidilfitri, pasar awam, pasar basah, pasar pagi, pasar malam, dan pasar raya besar, pasar raya, pasar mini serta kedai runcit.
Katanya, pendekatan penguatkuasaan dilaksanakan dengan lebih kerap dan bersasar ke atas harga barang yang menjadi
tumpuan rakyat pada bulan Ramadan dan Aidilfitri seperti gula, telur ayam, minyak masak, tepung gandum, barang basah dan barang untuk membuat kuih muih
supaya mempunyai tanda harga.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, di negeri Perak, sebanyak 10 lokasi BRR akan dilaksanakan pada tahun ini.
Katanya, lokasi itu ialah Taman Cempaka, Ipoh; Taman Perpaduan, Tambun; Puncak Bougainvillea, Kuala Kangsar; Bersebelahan OCBC Bank, Teluk Intan; Simpang Empat Hutang Melintang, Teluk Intan; Pekan Gerik; Kamunting, hadapan Pejabat Majlis Daerah Tapah; belakang Stadium MPM, Manjung dan Dewan Kerian Perami, Parit Buntar.
“Setiap lokasi ini akan dilaksanakan sebanyak lapan kali BRR sepanjang bulan Ramadan dan dijangka seramai 52,000 pengunjung berpeluang menerima insentif melalui ReDi, iaitu RM20 seorang melalui e-wallet TnG untuk berbelanja di BRR,” ujarnya.
Bagaimanapun, katanya, pemberian itu hanya terhad kepada 650 pengunjung terawal ke BRR pada tarikh-tarikh yang terpilih.



