Operasi pembenihan awan di Perak berjaya – Menteri Besar

Berita Perak

IPOH: Operasi Pembenihan Awam (OPA) yang di Perak telah berjaya meningkatkan kapasiti air di beberapa empangan utama dan Tasik Bukit Merah.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, oleh kerana adanya awan ketika operasi itu, ia telah berjaya menyebabkan berlaku hujan lebat.

Jelasnya, pembenihan awan itu penting bagi memastikan operasi Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Air Perak (LAP) serta Jabatan Pengairan dan Saliran beroperasi seperti biasa.

“Pembenihan awan ini untuk menampung ketidakcukupan air di Tasik Temenggor, Tasik Banding, Tasik Cenderoh, menyebabkan jika kita tak buat, tak melakukan pembenihan awan, kalau hujan tak turun, ia mengganggu, menjejaskan kebolehlaksanaab penjanaan tenaga elektrik.

“Dan waktu yang sama bila air kurang di tasik-tasik berkaitan, maka TNB tidak dapat melepaskan air.

“Jadi berlaku kering air di sebelah bawah, di sebelah bawah Kuala Kangsar sampai ke Teluk Intan. Itu menjejaskan pula muka sauk kendalian LAP dan juga JPS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika melawat Bazar Ramadan di Stadium Perak, di sini, hari ini.

Menurutnya, hujan lebat yang berlaku turut menyebabkan berlaku banjir di beberapa kawasan seperti di Manjoi pada Isnin lalu.

Bagaimanapun, Saarani menjelaskan, banjir berlaku kerana sistem perparitan tidak dapat menampung air yang begitu banyak.

Baru-baru ini, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dalam kenyataannya memaklumkan, operasi pembenihan awan dilaksanakan di Perak pada 12 dan 13 Februari lalu.