Op Tapis Khas: 601 diberkas kerana pelbagai kesalahan dadah

Berita Perak

IPOH: Polis menahan seramai 601 orang kerana pelbagai kesalahan dadah dalam Op Tapis Khas seluruh Perak pada 29 hingga 31 Januari lalu.

Polis turut merampas pelbagai jenis dadah, antaranya heroin, syabu, ganja, ketamin pil eramin 5, ectacy dan cecair ketum, kesemuanya dianggarkan bernilai RM253,471.30

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, daripada jumlah tersebut, 578 orang adalah lelaki manakala 24 lagi wanita, yang berumur antara 17 hingga 65 tahun.

Menurutnya, daripada tangkapan itu, 23 orang adalah warga negara asing iaitu Thailand (2), Indonesia (13) dan Myanmar (8).

“Daripada keseluruhan tangkapan tersebut, seramai 57 orang telah ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 147 orang memiliki dadah, 397 penagih disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan 12 orang ditahan di bawah Seksyen 3(1) ADB (langkah-langkah pencegahan khas 1985.

“Seramai 16 orang individu yang dikategorikan sebagai orang yang dikehendaki juga telah ditangkap,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau menambah, pihaknya juga telah berjaya mengenal pasti 25 orang penagih dadah tegar yang akan diambil tindakan di bawah Seksyen 39C ADB 1952.

Menurut Mohd Yusri, sepanjang operasi tiga hari itu, 295 pegawai dan anggota polis dari Jabatan Siasatan Narkotik IPK Perak telah menyerbu 28 sarang penagih seperti di Felda, Felcra, kawasan perumahan dan jeti nelayan.

Katanya, pihak polis turut menyita enam buah kereta, 10 buah motosikal, barang kemas dan wang tunai, keseluruhannya berjumlah
RM282,622.

“Kejayaan ini adalah hasil kerjasama berterusan di antara masyarakat dengan agensi penguatkuasaan, khususnya polis,” ujarnya.